Dasar pertanian 2016-2021 dilancar tahun depan
- dematan9
- Sep 20, 2015
- 2 min read

SEREMBAN - Dalam usaha meningkatkan keupayaan sara diri daripada segi pengeluaran makanan, kerajaan negeri akan melancarkan dasar pertanian lima tahun bermula tahun depan, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau berkata, pelan induk dikenali Dasar Pembangunan Pertanian Industri Asas Tani Negeri Sembilan Lima Tahun Penggal Pertama (2016-2021) di bawah Dasar Pembangunan Luar Bandar itu akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan. Katanya menerusi dasar itu, kerajaan negeri akan mengkaji, mengenal pasti dan mengatur strategi supaya hasrat kerajaan untuk melihat industri asas tani sebagai penyumbang besar kepada ekonomi negara dapat dicapai. "Kita tidak mahu terlampau bergantung kepada bekalan luar negara ... jika berlaku sebarang bencana di negara pengeluar makanan, kita akan menghadapi masalah besar," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri 2015 di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Anthony Nogeh Gumbek dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Hasim Rusdi. Beliau yakin jika dasar ini dapat dilaksanakan dengan baik dan mendapat sokongan kerajaan persekutuan, hasrat untuk menjadikan negeri ini mendapat status sara diri boleh dicapai. Mohamad berkata, kerajaan negeri menyasarkan sektor pertanian dan pelancongan menyumbang sekurang-kurangnya 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun hadapan. Pada tahun 2014, industri pertanian hanya menyumbang 8.6 peratus kepada KDNK berbanding industri pembuatan sebanyak 86 peratus, katanya. Sementara itu, Nogeh berkata kekurangan tanah pertanian, disebabkan oleh pembangunan yang pesat, merupakan sebahagian halangan besar untuk mempertingkatkan pengeluaran makanan negara selain faktor cuaca. "Pendekatan kita juga perlu berubah sekiranya kita ingin kekal relevan di dalam mengahdapi cabaran-cabaran ini. "Disebabkan oleh itu, pelbagai inovasi, teknologi dan mekanisme perlu diperkenalkan serta digunakan," katanya. - Bernama
( source )
Comments