top of page
Search

Negeri Sembilan MB worry about selling assets...

  • dematan9
  • Sep 24, 2015
  • 2 min read

Source from Utusan Online

SEREMBAN 23 Sept : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bimbang dengan cadangan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahu menjual 13 aset tenaga Edra Global Energy Berhad (Edra) kepada firma milik asing.

Walaupun memahami 1MDB mengalami tekanan hebat untuk melaksanakan cadangan berkenaan, beliau berkata, tindakan melepaskan aset strategik negara kepada pihak asing mungkin membawa masalah yang lebih besar pada masa hadapan.

Katanya, dalam kerangka yang lebih besar daripada hanya aktiviti perniagaan semata-mata, negara terdedah kepada ancaman terhadap kelangsungan keselamatannya jika aset strategik seperti itu berada dalam penguasaan orang asing.

Saya bukanlah seorang yang anti kepada perniagaan yang dilakukan oleh orang asing tetapi cadangan seperti ini secara umumnya tidak baik untuk negara ini."

Secara peribadi saya meminta 1MDB, Kementerian Kewangan dan kerajaan agar memikirkan semula secara masak-masak dan banyak kali cadangan untuk melepaskan aset tenaga ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di sini hari ini.

Menurutnya, beliau terdorong untuk membuat ulasan itu selepas membaca laporan di Utusan Malaysia hari ini mengenai 1MDB yang dijangka mengumumkan satu daripada tiga firma asing sebagai pemenang bida untuk mengambil alih 13 aset tenaga Edra miliknya yang bernilai RM10 bilion atau AS$2.3 bilion, dalam usaha mengurangkan hutang piutang syarikat tersebut.

Laporan itu yang memetik sumber sebagai berkata, firma tenaga berpangkalan di Arab Saudi, ACWA Power International dan Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar dikatakan berada di hadapan dalam senarai empat pembida, bersama satu lagi entiti asing dan juga firma tenaga tunggal dari Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Keputusan itu dijangka diumumkan secara rasmi selewat-lewatnya awal Oktober ini iaitu minggu depan,” kata sumber itu.

Mohamad memberitahu, beliau berpendapat TNB adalah pihak yang paling tepat dan sesuai diberi kepercayaan mengambil alih aset-aset berkenaan walaupun tawaran yang dikemukakan oleh syarikat utiliti kebangsaan itu mungkin lebih rendah sedikit berbanding firma lain.

Jelasnya, beliau percaya jika aset itu dimiliki oleh TNB, semua pihak terutamanya rakyat akan menikmati faedah yang lebih terjamin kerana aset berkenaan adalah milik tempatan.

Beliau menarik perhatian, pada masa yang sama, orang ramai perlu mengetepikan sentimen buruk terhadap TNB atau 1MDB sekiranya syarikat utiliti kebangsaan itu diberikan kepercayaan mengambil alih aset-aset berkenaan.

Sejauh mana pun kita mungkin membenci 1MDB tetapi dalam hal ini kita kena berfikir secara rasional dan meletakkan kepentingan negara lebih atas daripada kebencian kita itu.

Cukuplah dengan apa yang telah berlaku, mari kita bergerak ke hadapan dan tidak menilai setiap perkara berdasarkan sentimen semata-mata,” ujarnya.


 
 
 

Comments


  • Facebook Black Round
  • Google+ Black Round
  • Tumblr Black Round

© 2023 by Walkaway. Proudly created with Wix.com

bottom of page